Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum'
(bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah.
Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah SWT
dalam surah al-Taubah ayat 36, yang bermaksud, "Sesungguhnya bilangan
bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah
ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi.
Antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian
itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri
kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar
laranganNya)...." Abu Bakrah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda,
"Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit
dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat
bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah,
Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rejab iaitu antara bulan
Jamadilakhir dan Sya'ban." (Hadis sahih direkodkan oleh Imam Bukhari dan
Muslim).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung
(Lata'if al-ma'arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan
yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya
peristiwa Isra' dan Mikraj yang menurut majoriti ulama' ia berlaku pada
27 Rejab.
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rejab sebagai salah satu
bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada
laporan/hadis palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadis
sebagai hadis maudhuk.
Mengagungkan bulan Rejab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah
pun wujud pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat
Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rejab sehingga mereka
menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan popular yang dilakukan
oleh sebahagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rejab
ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat
Rejab dan menghidupkan malam dengan sembahyang sunat Rejab.
Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rejab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakkannya adalah hadis palsu (maudhuk).
Isu mencemarkan bulan Rejab dengan janji-janji daripada sumber yang
palsu ini sudahpun wujud sekian lama. Antara ulama terdahulu yang
membongkar usaha golongan pemalsu hadis yang membuat pembohongan
terhadap Nabi Muhammad saw berkaitan kelebihan bulan Rejab dan amalan
khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadis Abu al-Khattab 'Umar bin
Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk 'Ada' ma
wajab min bayan wad' al-wadda'in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib
dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan
Rejab)' dan Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani (w. 852H) yang mengarang
risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab
(Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan
tentang kelebihan Rejab)'.
'Ata; seorang ulama tabi'in menjelaskan, Nabi Muhammad saw melarang
daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan
sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah
(Ibnu Rajab, Lata'if al-ma'arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-'Asqalani
menjelaskan, "Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab
adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh
dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan
Rejab.
Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa
menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain,
tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat
ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga
dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah
sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang
beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus
untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang." (Tabyin
al-'ajab, hlm. 49).
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang
risalah yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab' :
"Telah berulang-ulang soalan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan
Rejab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan
yang mana hadis yang sahih dan yang palsu." Kesimpulan daripada analisa
yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, "Langsung tidak terdapat
hadis sahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rejab,
puasa sunat khusus Rejab, juga solat sunat qiyamullail khusus
Rejab...namun begitu terdapat sebahagian ulama yang membenarkan menerima
hadis yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rejab walaupun hadis itu
daif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadis mauduk."
Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan/hadis palsu ialah:
i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan
bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor
hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu
Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini
juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.
iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran
atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang
pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong
iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan
untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari
ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah
membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan
Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang
ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang
berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar
dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh
seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang
pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang
menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab
juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin
'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.
v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian
selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam,
setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah
al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana
ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis
sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan
palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang
sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan
Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu
tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash.
Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.
vii. Bersedekah pada bulun Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka.
Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang
dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi
'Iyash.
HARAM MENYEBAR HADIS PALSU
Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda,
"Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama
dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang
membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia
dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh
Imam al-Bukhari).
Syeikh Abu Asma' Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr menjelaskan dalam
pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang
bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab', ramai dalam
kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif
terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada
masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara
merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang
menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, "Sesiapa yang berdusta
terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka". Walaupun
mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah,
tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka
sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam
melakukan pendustaan terhadap Rasulullah saw.
Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Cukuplah
seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala
berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih
direkod oleh Imam Muslim).
Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk
melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia
bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap
Nabi Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan
melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang
benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan
malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin
khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat
selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.
Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment